Monday 16 April 2012

Mancini tidak menyesal gantung Tevez enam bulan



NORWICH - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menyangkal dakwaan yang mengatakan ketiadaan penyerang, Carlos Tevez sebelum ini telah menjejaskan misi pasukan itu untuk bergelar juara Liga Perdana England musim ini.
Kelmarin, Tevez membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak hatrik ketika membantu City mencatatkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Norwich City dalam saingan Liga Perdana England di Carrow Road.
Sebagai rekod, ia merupakan gol keempat yang dijaringkan penyerang antarabangsa Argentina itu dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.
Sebab itu, para penyokong City menganggap jika Tevez tidak diketepikan oleh City dalam tempoh enam bulan yang lalu, pasukan tersebut kini sudah pasti bergelar juara liga.
"Tevez tidak beraksi bersama pasukan selama enam bulan dan sebulan selepas itu kami (City) kembali bersaing memburu tangga teratas carta liga.
"Bukan Tevez seorang sahaja pemain yang diketepikan.
"Kami juga terpaksa melupakan khidmat (Sergio) Aguero sebanyak dua perlawanan (ketika seri dengan Stoke City dan Sunderland), Vincent Kompany pula mengalami kecederaan selama sebulan dan (Joleon) Lescott juga mengalami kecederaan selama dua minggu.
"Namun, pasukan telah beraksi dengan baik biarpun tanpa kelibat Tevez," kata Mancini.
Hubungan Tevez dan Mancini menjadi retak apabila bekas penyerang Manchester United itu enggan mematuhi arahan pengendali Itali itu ketika menentang Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada September lalu.
Rentetan daripada itu, Tevez telah diketepikan Mancini selama enam bulan sebelum membuat penampilan pertamanya ketika menentang West Bromich Albion minggu lalu.
Lebih malang, anak-anak buah Mancini gagal mempertahankan kedudukan pendahulu liga yang dikuasai mereka selama lima bulan apabila pencabar terdekat, United berjaya merampas takhta liga.
Bagaimanapun, dengan kemenangan ke atas Norwich, City kini berada di tangga kedua carta liga dengan 77 mata - dibezakan dua mata berbanding United selaku pendahulu.
Pada aksi menentang Norwich, Tevez meledak hatrik pada minit ke-18, 73 dan 80.
Aguero turut cemerlang apabila meledak dua gol pada minit ke-27 dan 75 manakala Adam Johnson menjaringkan gol keenam City pada lewat babak perlawanan. - AFP

0 comments:

Post a Comment